Republik Korupsi

REPUBLIK KORUPSI

Genre: Kumpulan Puisi
Penulis: Nimoiz T.Y
Penerbit: E Sastra Management Enterprise (eSMe), Jakarta
Tahun Terbit: 2014

SampulRK

ULASAN

 

NIMOIZ T.Y SI PENYAIR SIBER

Kalau kita hendak mencari penyair Malaysia yang dapat dinamai penyair siber, maka Nimoiz T.Y tentunya salah seorang daripadanya. Dia telah berkecimpung dalam pengkaryaan siber sejak 2002, semasa portal eSastera mula dibangunkan. Pada masa itu, umurnya baharu 17 tahun. Di alam siber itulah Nimoiz T.Y mula menempa nama sebagai penyair, termasuk bergelumang hidup dengan pelbagai karenah sasterawan dari pelbagai latar belakang tempat, kedudukan sosial, dan umur.

Nimoiz T.Y muncul cemerlang dalam suasana perebutan perhatian di alam siber apabila dia telah memenangi Anugerah Penyair Alam Siber (APAS) yang pertama kali diadakan di Malaysia pada tahun 2003, dan untuk dua kali lagi selepas itu, dengan mengalahkan penulis lain yang jauh lebih senior daripadanya. Akhirnya, pada tahun 2009, Nimoiz T.Y berjaya menggondol anugerah tertinggi eSastera, iaitu Anugerah Sasterawan Alam Siber (SAS). Itu semua adalah sejarah. Yang lebih penting ialah keadaaanya yang terus mampu berkaya di alam siber setelah sekian lama sementara ramai rakan pengkarya siber seangakatan dengannya telah meninggalkan kegiatan itu dan kebanyakannya hanyut tidak ke mana-mana di dunia sastera yang penuh cabaran ini.

Nimoiz seorang jurutera yang hands-on. Dia lebih berminat menggunakan tangannya untuk bertukang kayu daripada duduk menukul papan kekunci untuk menghasilkan karya sastera. Namun dia terus gigih dari semasa ke semasa menghasilkan pertukangan sastera dalam pelbagai genre, terutamanya sajak, sajak jenaka, dan cerpen. Esastera telah menerbitkan kumpulan sajaknya Jalan Baru seawal tahun 2006, iaitu semasa dia baru berusia 23 tahun.

Dalam buku Republik Korupsi ini, Nimoiz memaparkan fikiran dan emosinya dalam 41 buah sajak yang menarik dan matang. Sajak-sajak ini ditulis dalam tempoh 11 tahun, dari tahun 2003 sehingga tahun 2013, dengan kesemua sajak dalam buku ini telah terbit dalam akhbar, majalah, atau antologi bersama dari tahun 2005 hingga 2013.

Kandungan buku Republik Korupsi ini menggambarkan kerencaman tema yang dipuisikan Nimoiz: dari gadis yang seksa (Seorang Gadis Dengan Bunga Di Kepala) ke gadis yang seksi (Erang Dari Dalam Kelambu), dari nurani yang syahdu (Memburu Al-Qadar) ke nurani yang kelabu (Kelkatu Nafsu), dari kedamaian alam desa (Ketika Ke Pantai) ke keserabutan kota (Selamat Pagi Kuala Lumur), dari keluhuran jiwa beragama (Salju Aidilfitri) ke kesesatan sosial (Belajar Memberi Rasuah). Nimoiz T.Y juga ada bersajak tentang rakan-rakan penyairnya, iaitu Leo A.W.S (Hadiah Dari Seorang Penyair) dan Fahd Razy (Tatkala Menggeledah Nurani Fahd Razy). Kekadang dia berfalsafah, misalnya dalam sajak Antara Dua Tafsir dan sajak Persoalan.

Sajak Republik Korupsi yang dipilih sebagai judul buku ini merupakan sajak sinis separa polos yang menyindir kekaluatan masyarakat moden dalam menguruskah kehidupan politik dan sosialnya. Katanya,

Di Republik korupsi
batil adalah kebenaran
dan kebenaran adalah boneka mainan

 Kritikan terhadap masyarakat seperti ini banyak digarap oleh Nimoiz dalam buku ini. Sajak-sajak lain yang bersifat sedemikian termasuklah Selamat Pagi Kuala Lumpur, Leher, Gunting, dan Nota Pendek Seorang Pelacur Kepada Menteri.

Satu lagi tema yang akrab dengan penulisan Nimoiz T.Y ialah tema keagamaan. Beberapa sajaknya dapat dikenalpastaikan degan mudah sebagai berunsur kerohanian, misalnya Memburu Al-Qadar, Salju Aidilfitri, Apakah Masih Ada Jiwa Muhammad, dan Atas Nama Korban.   Dalam sajak Atas Nama Korban, beliau berfalsafah tentang agama:

Pengorbanan bukan sekadar pengorbanan
bukan sekadar haji di Baitullah
bukan sekadar tawaf di Kaabah
bukan sekadar lari di Mina melontar jamrah
bukan sekadar darah mengalir di pagi Aidil Adha
bukan sekadar pembahagian tujuh bahagian
tapi adalah pengorban jiwa
petak mula ke garis-garis takwa.

 Di samping isu-isu masyarakat dan agama yang umum, Nimoiz juga bersajak tentang bahasa Melayu, nasib dan kedudukannya:

Nestapa masih lagi beraja
dalam kotak pencinta bahasa
selagai bahasa yang dijunjung di maya pada
tidak diletak di menara bangsa

Sebagai penyair dari generasi Y, Nimoiz T.Y juga bersajak tentang jiwa cinta romantis orang muda yang sentiasa tercabar. Dalam sajak Cinta Yang Kaupinjamkan, Nimoiz meluahkan rasa derita cinta mudanya:

Cinta yang kaupinjamkan
mengisi gelas kecewaku yang pernah retak
kini telah kauambil kembali

Sebagai “pakar” sajak jenak (sajen) yang telah menghasilkan koleksi sajak jenaka dalam buku Tukang Auta (Esastera Enterprise, 2011), Nimoiz T.Y juga menyelitkan di dalam buku ini sajak jenaka Pat-Pat Siku Lipat 10 yang menyindir ahli politik negara dalam suasana pilihan raya:

Pat-pat siku lipat
bila berkempen macam-macam janji dia buat
pat-pat siku lipat
tapi bila dah jadi YB dia pun lesap
pat-pat siku lipat
tinggallah anak mukim masih mengharap

 Sebenarnya, dari segi tema, 41 buah sajak Nimoiz T.Y yang terkumpul dalam buku ini dapat dibahagikan kepada 10 tema utama seperti dalam Jadual 1:

Jadual 1: Tema Utama
Tema Nombor Sajak Jumlah %
Bahasa 6, 12, 19, 37 4 10
Budaya 0 0
Ceritera /Anekdot 0 0
Dedikasi 4, 10, 14, 17 4 10
Kasih/Perkasihan 5, 36 2 5
Kerohanian 1, 7, 27, 33 4 10
Motivasi 26 1 2
Nostalgia 34, 38, 39 3 7
Patriotik 0 0
Pendidikan 8 1 2
Pengurusan 0 0
Perayaan 0 0
Peristiwa 0 0
Perpuisian 0 0
Politik 11, 18, 32, 35, 40 5 12
Renungan / Falsafah 2, 3, 9, 15, 23, 30, 31, 41 8 20
Sains 0 0
Sosial 13, 16, 20, 21, 22, 24, 25, 28, 29 9 22

Penentuan tema ini saya asaskan kepada skema 15 tema umum yang saya aplikasikan dalam buku kumpulan sajak saya, Semelar (kAPAS Publication, 2003), ditambah tiga tema umum lain yang saya paparkan secara huruf italik dalam Jadual 1 itu: Nostalgia, Politik, dan Renungan/Falafah. (Walau apapun, pelabelan tema ini hanya pandangan peribadi saya sendiri dan dapat dipersoalkan, malah ada sajak yang dapat dikategorikan di bawah lebih daripada satu tema yang disenaraikan).

Pada amnya, Nimoiz T.Y bersajak dengan bahasa yang polos, kekadang puitis, kekadang prosaik. Ungkapan yang berikut ini (dari sajak Erang Dari Dalam Kelambu) saya anggap sebagai antara yang puitis:

Aku terlalu letih
dan sukar untukku
terus memburu bulan
di puncak malam.

Ekspresi yang berikut (dari sajak Nota Pendek Seorang Pelacur Kepada Menteri) adalah antara yang prosaik,

Aku tidak bisa lagi melagukan keriangan kerana aku kini telah ternoda.

Dia banyak sekali bermetafora (seluar nafsu; gelas kecewa, kerongkong kasih, kota cabar, kelkatu nafsu, pelita nafsu, awan kenangan, awan memori, lengkung dusta, dll.) dan sesekali berpersonifikasi (hati berbunga; memori menjengah). Stail inilah yang mendominasi keseluruhan karyanya, sama ada disedarinya atau tidak. Bagusnya, mesej yang hendak disampaikannya dapat diterka pembaca dengan cepat. Namun kekadang Nimoiz suka bermain-main dengan kata-kata (atau mempermainkan kata-kata), misalnya dalam sajak Pilihan (2) dan sajak Persoalan. Dalam Pilihan (2), dia menulis:

Ketika kita memilih
tidak dinamakan pilihan
jika pilihan yang diberi
hanyalah satu pilihan.

 Saya suka membaca sajak-sajak Nimoiz. Berisi dan berisu. Saya suka sajak pendek Sangkak (1) dalam buku ini:

Ayam serama
di reban ayah
berebutkan sangkak.

Lama-lama
telur musnah
dimakan biawak.

 Nimoiz T.Y saya kenali sebagai peyair siber. Buku ini berbentuk cetakan konvensional, maka sajak-sajak di dalamnya tidak mampu menggambarkan e-puisi yang sebenar, yang mengandungi pelbagai unsur siber seperti audio dan animasi. Namun marilah kita nikmatinya seadanya.

 

Irwan Abu Bakar
Presiden Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia (E-SASTERA)
Kuala Lumpur   I  4 Jun 2014

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s