Bulan Suram Di Langit Kashmir

BSDLK-Cover
Judul: Bulan Suram Di Langit Kashmir
Genre: Antologi Puisi
Penulis: (e-Wanita ber-4) Hasimah Harun, Dahna, Nur Ain Hanis, Citranalis
Bilangan halaman:
Harga: RM

 

Pendahuluan

Seni dan masyarakat memperoleh keindahan daripada kebolehan untuk menggabungkan perbezaan dan perselisihan dalam pola yang harmoni. Hal ini diperhatikan oleh Shaftesbury semenjak pengarang berkewajipan dalam kesusasteraan untuk mengimbangi sudut pandangan yang berencam dalam sesuatu teks. Dalam kritikan kesusasteraan beliau yang turut serta melalui teori dialektik, seni dan kesusasteraan menjadi begitu subur pada abad ke-19. Teori ini mendakwa bahawa seni memperoleh nilainya daripada kebolehannya untuk mendamaikan kuasa atau idea yang berlawanan, terutamanya daripada kebolehan untuk mengantarai konflik tentang hal yang berkaitan dengan universal yang konkrit, atau kepentingan individu dengan kebaikan masyarakat secara keseluruhan. Tanpa keindahan yang tulen dan benar membuatkan imej perdamaian karya bersifat negatif. Dan ini tidak dikehendaki dalam dunia seni universal. Oleh sebab itu puisi semestinya mempunyai keindahan. Ini kerana keindahan merupakan produk harmoni, kesamaan dan keseluruhan. Keindahan dihargai dari segi kebolehannya mengeluarkan perasaan keseronokan, kesejahteraan dan integrasi dengan alam semula jadi dan masyarakat. Dengan kata lain, puisi yang indah semestinya mengungkapkan pengalaman sosial, kuasa aktiviti budaya dan kesan sosial kepada jiwa masyarakat. Pengucapan terpenting tentang masyarakat dalam puisi ialah kebaikan alam terhadapnya, atau keinginan penyair memurnikan jiwa masyarakat. Dalam keadaan masyarakat yang tidak murni, termasuk nasib dan kedudukan bahasa yang sepatutnya indah dari segi fungsinya dalam sesebuah negara, maka penyair bertanggungjawab untuk membekalkan idea tentang cara-cara memurnikannya, atau mengkritik secara halus agar ketidakmurnian yang berlaku dalam masyarakat disindiri ke arah pembetulan dan pembaikpulihan. Hal ini sangat lazim dalam puisi Melayu, termasuk yang dicipta oleh penyair wanita. Sebagai contoh, dalam puisi berjudul Niaga Perasaan oleh Hasimah Harun terungkap pengalaman dalaman bersifat kejiwaan. Terdapat falsafah kesabaran dan muhasabah diri yang terapung pada makna-makna halus yang dijadikan pegangan hidup, selain sebagai obat yang menyembuhkan kesakitan di hadapan manusia awam yang tidak mengenal kepentingan kemulusan dalam hidup yang ada hembusan angin dan tempias hujan.

 

Ini musim merembas kata
akulah penjaja
akulah juga pembeli makna
pada harga lelongan.

Pada beku rahsia
inilah musim kubalut rahsia
pada puisi lelongan
yang kujaja
dan kubeli sendiri
untuk kuratap
dan kurobek.

Sehabis musim ini
‘kan kuganti dengan mulus kata-kata.

Moga baik nasibku
mulus kata-kata akan terjual
dengan harga tinggi.

 

Puisi ini mujarad dari segi pemendaman rasa dalam jiwa, sehingga pembaca harus mencari makna-makna pelambangan yang boleh membantu kejayaan menafsirkan maksud mesejnya yang bersifat rasa. Puisi mujarad seperti ini mendukung nilai estetik yang tinggi dari segi kebolehan penyairnya menyembunyikan idea halus dan dalam di luar kuasa bahasa yang penuh dengan nilai metarasa. Ujaran stanza 3 yang berbunyi [Sehabis musim ini / ‘kan kuganti dengan mulus kata-kata] yang diikuti oleh ujaran stanza 4 yang akhir yang berbunyi [Moga baik nasibku /mulus kata-kata akan terjual / dengan harga tinggi] membawa setitip falsafah tinggi bahawa kehidupan yang tinggi nilai emosi dan inteleknya dipengaruhi oleh sikap dan tindakan yang halus, murni dan bermanfaat kepada diri seseorang secara mandiri, dan mungkin juga kepada masyarakat secara pelambangan.

 

Puisi lain yang menilai pengalaman masyarakat ke arah pembaikan ialah puisi berjudul Penjarah sejarah oleh Dahna. Puisi ini mengajak masyarakat memikirkan hakikat tentang wujudnya pencuri sejarah yang menular untuk menukar jalan fikir yang boleh merosakkan budaya dan kepercayaan agama Islam oleh unsur datangan di sini. Walaupun kata agama tidak dikaitkan secara langsung, kata kebenaran dam mauduk cukup memenuhi interpretasi. Dalam sajak ini, persoalan yang kabur digunakan untuk memendamkan hakikat di dasar kemungkinan, agar kehalusannya terpelihara. Penyair berasa amat sangsi dengan kewujudan nilai asing dalam masyarakat dan budaya kita. Nilai ini sering menghukum ketenangan hidup kita yang mempunyai sejarah asalnya yang murni dan jujur. Mari kita lihat tempias tanggapan ini dalam sajak yang dimaksudkan itu:

Siapa yang gelojoh mengumpul reranting rasa
melonggok kalut akal, kering dan rapuh
lalu mencetus marak api
di tengah padang tempat kita menggatih rukun:
– siapa penjarahsejarah?

sedemikian seekor selar dihambat
ke dalam baju dan celana teman sepermainan,
kau terhincut bergelakan, dan hari ini
jelir lidahmu berpintal di inci tanah yang sama dinaungi
menjeluak kebiadapan.

Lampau waktu simpati pertiwi
menjelum demam imigrasi
ditepis sambil menyungging senyum, kini.

Siapa memaling kebenaran
lalu meletaknya di sulbi pembohongan
lupa akar usul
di neraca jirim mauduk kastanya
sehingga terpincang oleh tangan mereka

Maksud ujaran stanza pertama dan kedua cukup panas untuk membara jiwa masyarakat yang rindukan ketenangan dan perpaduan.

 

Estetika

Yang paling tidak boleh dinafikan ialah sumbangan estetika sebagai dimensi yang menempatkan karya sastera, seperti puisi, dalam ranah kualitatif. seperti yang telah diketahui oleh para sarjana kesusasteraan, bahawa estetika berhubungan dengan keindahan seperti: apakah ukuran atau dimensinya dalam puisi, serta hubungannya dengan kebenaran dan kebaikan. Kualiti ini akan digunakan dalam bahagian pengantar ini untuk melihat kedudukan puisi-puisi ciptaan penyair wanita kita dalam antologi Bulan Suram Di Langit Kashmir. Walaupun aspek lain turut menyumbang kepada pengukuran kualiti sesebuah puisi, estetika sangat bertanggungjwab dalam penilaian ini berbanding aspek lain seperti struktur bahasa dan budaya dalam perkaitan dengan fikiran dan pemikiran yang terucap dalam puisi.

Sumber estetika dalam puisi lebih banyak dikaitan dengan kewujudan nilai ‘keagungan’ (sublimiti) sebagai sejenis kepandaian atau kefasihan khusus. Kebanyakan strategi retorik dirancang untuk memujuk audien dengan menawarkan hujah. Hujah ini pula dirancang untuk membantu audien atau pembaca melalui proses pertimbangan yang mendalam. Hal ini akan kita lihat sama ada wujud atau tidak dalam puisi-puisi empat penyair dalam antologi ini. Setelah diteliti, konsep keagungan yang dimaksudkan ini terbayang, antaranya dalam sebahagian puisi Taman Hati karya Nur Ain Hanis yang berikut ini:

Taman hati
kupagari dirimu dengan tembok keimanan
agar ia menjadi benteng
menahan arus gelombang kehidupan
kuhiasi dirimu dengan bunga-bunga impian
agar ia berkembang mekar
mengharum kasih setulus hati
cinta abadi.

Bayangan “keagungan” tidak berbayang pada maksudnya, tetapi pada susunan kata dalam diksi, meski pengertiannya mudah sahaja. Terdapat pengisian jiwa dalam puisi tersebut, setidak-tidaknya dari segi mengimbasi nilai motivasi yang jernih dari segi kerohanian yang mendasari peringatan atau renungan. Kata [agar] menyahut pengisian hujah yang dihantarkan oleh penyair dalam puisinya itu.

Dalam bahasa, kata-kata dapat mewwakili roh, yang dilancarkan melalui bakat semula jadi dan inspirasi yang dibentuk dalam ujaran. Sumber keagungan ialah fitur-fitur bahasa yang menghasilkan keagungan itu sendiri. Mengikut Longinus, tanpa kuasa keagungan gaya akan gagal. Maknanya, puisi yang mempunyai nilai estetik sahaja tidak termasuk ke dalam genre yang dinamakan puisi. Konsep keagungan selalunya membauri alasan, rumus dan pengiraan yang tergambar, setidak-tidaknya, dalam imaginasi yang ditimbulkan dalam puisi. Rumus dan pengiraan membuatkan puisi sempurna dari segi idea yang dikemukakan, kerana bahasa yang betul nahu kreatifnya dengan sendirnyai terbela oleh alasan yang wujud secara tidak semana-mena itu. Terdapat sebuah puisi yang mendukung keperluan ini, iaitu beberapa ujaran puisi ciptaan Citranalis yang berjudul Setelah Hujan Berhenti di bawah ini:

Berikan payung itu
biar kututup cerita semalam
kerana hujan yang berhenti
membawa bersamanya tangis
yang mengalir dalam satu
lautan rasa.

Walaupun puisi ini pendek, strukturnya cukup untuk menubuhkan suatu falsafah pemikiran yang agak khusus, kerana “hujan yang berhenti” memerlukan dugaan atau ujian (sebagaimana yang ditafsirkan daripada lambang ‘tangis’ untuk manusia dapat memahami ‘lautan rasa’, iaitu “pengalaman yang penuh dengan warna dan sentuhan yang rencam, tetapi bermakna.”

Kehadiran keagungan boleh bersifat “tempiasan” sahaja dan ini ditentukan oleh kebolehan puisi untuk menggerakkan emosi yang kuat dan berilham. Kedua-dua unsur ini begitu dalam, dengan selainnya kelihatan hanyalah sebagai hasil seni, iaitu pembentukan yang betul kerana mengandungi gambaran fikiran dan gambaran bahasa (seperti kiasan, alusi dan kilasan), bersama-sama dengan penciptaan diksi yang mulia, yang kemudiannya diputuskan oleh pemilihan kata, penggunaan tamsil, perumpamaan dan sebagainya, termasuk perincian gaya.

Setelah meneliti beberapa banyak karya, puisi berjudul Wajah Pulang oleh Hasimah Harun mencerahkan kualiti ini, walaupun tidak seluruhnya:

Wajah calar solekan pudar
hilang seni hilang seri
wajah cemar
berdebu

Sekelip mata tergelincir
terperangkap di gaung silap
gelap segelap malam
pekat sepekat malam.

Dalam gelap merayap sinar.

Terhias insaf raut wajah
melimpah harap taut pasrah
pergilah calar pergilah cemar
aku mahu pulang.

Bahagian yang bergaris-bawah itu berhiaskan tempias keagungan yang tinggi roh emosinya. Di sini wujudnya ufuk yang menanm jiwa ke dalam diri penyair. Dalam puisi ini sumber kehebatan kelihatan mewujudkan kesan keseluruhan yang terakibat daripada digniti dan ketinggian. Kualiti ini sukar dicapai oleh kebanyakan puisi biasa, kecuali beberapa, jika ada, yang dapat menelurkan kebaikan dan falsafah pemikiran yang halus dan menangkap jiwa serta mengandungi siraman intelek.

Ekspresi

Kesusasteraan juga pernah dilihat sebagai mediasi penerokaan kemungkinan dan pembatasan kebebasan manusia. Seni, menurut Kant dan Schiller, membentuk anggapan bahawa ia dapat mewujudkan sejenis campur tangan antara keperluan individu dengan permintaan komuniti, supaya ia dapat bertugas sebagai model kebebasan manusia, iaitu kebebasan yang dimenangi melalui perbandingan dengan cara mengharmonikan kuasa perselisihan dalam psike. Seni merupakan sejenis permainan yang diperteguh supaya melaluinya emosi yang berkonflik dan kuasa kognitif yang mencorak tingkah laku manusia diharmonikan. Teks kesusasteraan, seperti puisi, merupakan ekspresi unggul yang dinamik, kerana ekspresi seni merupakan proses tawar-menawar untuk pembaikan. Proses ini lebih ketara dalam karya kesusasteraan sekarang ini, terutamanya puisi yang lebih banyak dipengaruhi oleh pragmatisme.  Sebagai contoh, puisi Ombak oleh Dahna mengungkapkan kebebasan yang memperihal perilaku ‘ombak’ dalam konteks pengalaman jiwa yang dikaitkan dengan kehidupan manusia, bahawa ‘ombak’ boleh mengajar manusia melalui pengalamannya di laut. Walaupun puisi ini mujarad pada aras struktur dalamannya, kemungkinan masih boleh dicapai oleh pembaca, sekurang-kurangnya menggarapi hakikat bahawa manusia juga hidup seperti ombak di lautan. Yang sinisnya ialah hakikat yang penuh dengan pertanyaan, sedangkan penyairnya sudah menyediakan jawapan, bahawa dia boleh hidup tanpa campur tangan ombak dalam masyarakatnya. Mari kita perhatikan kilasan mujarad tersebut yang terungkap pada sebahagian puisi yang sama di bawah ini:

Engkau berulang rentap menarik dan menyongsongku ke lubuk yang paling sepi, paling hitam. Oh ombak! alunkah merasuk tubuhmu sehingga kau ganas bergelora? atau marahkah engkau kerana aku enggan menyapa puji tika jingga senja menguning bibirmu?

 

atau kerana secuit dendam yang kaugulung jauh ke dalam pusaranmu? atau kerana aku dangkal tika cinta berkembang di biru dadamu? atau gahmu yang selalu menang menawan saujana laut?

 

Puisi yang tidak difahami oleh pembaca tidak penting dalam kesusasteraan. Yang penting ialah nilai estetiknya, sama ada wujud atau tidak, dalam puisi tersebut. Dalam puisi Dahna di atas, permainan kata-katanya disusun dalam logik yang wajar, kerana penyair menjadi unsur penyambung antara kehidupan manusia dengan hakikat ombak yang tidak pernah tenang itu. Ujaran seperti [atau kerana aku dangkal tika cinta berkembang di biru dadamu? Atau gahmu yang selalu menang menawan saujana laut] mengemukakan persoalan yang tidak selesai. Hal ini logik dari segi “hakikat ombak di lautan” yang tidak pernah tenang, walaupun itulah kebahagiaannya; tidak seperti manusia yang boleh bahagia dalam pengalaman yang tidak membuktikan ketenangan. Inilah yang dikatakan puisi. Di sinilah tersangkutnya kuasa estetik dalam penyediaan persoalan yang tidak terjawab oleh manusia, kerana manusia terlalu menggunakan bukti untuk menterjemah kehidupan mereka. Penulis rasa puisi ini bagus dari segi binaan persoalan, dengan menggunakan diksi yang terpilih kata-katanya. Puisi berjudul Ketika Ombak Berbisik oleh Citranis juga tergolong kepada jenis yang sama:

 

Bagaimanakah harus kutafsir

di sebalik kerinduan ini

   menyelak tiap helaian hidup

     adalah satu rasa yang amat payah

       tidak semudah sebaris ayat

         kerana setiap kalimah yang terungkap

           akan mencarik cebisan hati

               yang sekian lama membeku

 

Sajak ini sudah menjawab pertanyaan apabila ‘ombak’ telah menjadi dirinya. Gelagat hidup yang serba payah dan mengelirukan itu sebagai corak yang dialaminya, sebagai terjemahan dalam konteks ‘ombak’ di lautan, tetapi ombak yang ditafsirkannya itu tidak berada di lautan. Sedangkan penyair membawa rindu yang sangat mulia dan besar maknanya kepada dirinya barangkali untuk seorang kekasih yang tidak diucapkan, atau yang sudah pun berada dalam hidupnya. Citranis juga sejiwa dengan Dahna, bahawa ombak yang menyukarkan hidupnya itu sebenarnya sedaun pintu yang terbuka untuk dimasuki kebahagiaan dalam sifatnya “berombak”, iaitu seperti laut yang memerlukan ombak untuk menikmati kebahagiaan yang sememangnya “berombak”.

 

Gender

Hasil tulisan golongan wanita sekarang layak mendapat tempat dalam kanun kesusasteraan, tetapi, oleh perbezaan yang agak dramatik, sudut-sudut kesusasteraan penulis wanita haruslah sentiasa dihakimi. Virginia Woolf mendakwa bahawa penulisan yang paling baik ialah yang menyatukan dua sudut pandangan lelaki-dan-perempuan. Panggilan Woolf terhadap penggabungan sudut pandangan ini harus difahami sebagai suatu permintaan untuk pengertian gender yang lebih bersifat manusia dan kehidupan. Walau bagaimanapun, karya lebih dilihat pada kuasa estetik di dalamnya. Nilai estetik itu lebih bermakna daripada aspek yang lain-lain apabila kita membicarakan kualiti hasil penulisan wanita berbentuk karya, seperti puisi. Dalam pencerahan budaya, sesetengah bacaan mengesahkan kategori estetik sebagai suatu paradigma yang berguna untuk bacaan seni kesusasteraan. Apakah yang dikatakan seni kesusasteraan itu sebenar?   Sebagai jalan tengah yang adil kepada semua sudut pandangan, tugas kita seharusnyalah berusaha untuk memahami ketidaksempurnaan estetik kesusasteraan yang menahan begitu lama penderitaan. Inilah yang dikatakan penguatan yang paling kukuh terhadap ikatan yang tidak boleh dipisah-pisahkan sama sekali antara kesusasteraan dan seni. Sebagai contoh, puisi Aku Tahu Maknanya oleh Hasimah Harun mencantumkan kesusasteraan dan seni dalam konteks budaya Islami:

jujur ada di tengah-tengah hati
garilah janjiku
rantailah setia kepadamu
sesudah itu
senyum dikunyah-kunyah
manisnya telan bersama
ampunlah dari sekecil-kecil dosaku
di lingkaran rumah tangga.

Sebutan yang mengenai kesetiaan isteri yang dituntut oleh agama begitu aman. Ujaran [jujur ada di tengah-tengah hati] dan [garilah janjiku] merupakan ekspresi jiwa yang merantaikan akad dengan pengisian pengalaman hidup yang cukup jujur. Meskipun idea ini mandiri, ia juga melambangkan nilai dan sikap universal yang Islami. Manakala ujaran [ampunlah dari sekecil-kecil dosaku] dan [di lingkaran rumah tangga] mengiktiraf kelemahan manusia yang sentiasa berlegar di ruang pertarungan kebahagiaan hidup berumah tangga. Kata-kata yang dipilih sebagai bahan kesusasteraan didapati sesuai dengan seninya yang manis di lantai jiwa.

Puisi lain yang menyerap idea tentang falsafah yang sering diungkapkan oleh wanita ialah puisi Di Lanskap Kehidupan yang sebahagiannya diungkap oleh Nur Ain Hanis dalam stanza ketiga yang berikut ini:

Merata-rata khabar melanda
terjumpa di mana-mana
terbiar tanpa dibela
terlontar bagai sampah terbuang
terhina bagai anjing di jalanan
begitulah hakikat
jika hilang tiang keimanan.

Perjuangan wanita yang tersatu dalam pengetahuan penyair umumnya tidak mengasingkan seni daripada karya yang berbeza itu. Maknanya, asal sahaja puisi itu dicipta, ia terus dilontarkan kepada masyarakat pembaca untuk diteliti dan difahami idea yang terungkap dalam puisi itu sebagai yang sama, iaitu perjuangan memelihara dan membentuk moral yang terguris dalam pengalaman masyarakat. Ujaran [begitulah hakikat/jika hilang tiang keimanan] menunggak pengertian yang disedihi oleh penyair sebagai sesuatu yang tidak harus berlaku dalam masyarakat, tetapi telah pun berlaku. Harapan penyair untuk mengubati penyakit sosial ini tergantung antara tangkai keimanan di kebun malam dengan jejak kaki di bumi amalan.

Kesimpulan

Dalam antologi Bulan Suram Di Langit Kashmir ini keempat-empat penyair Hasimah Harun, Dahna, Nur Ain Hanis dan Citranalis didapati sejalan dari segi ideologi dan epistemologi. Keempat-empat penyair itu telah mendedahkan pengalaman wanita yang telah meningkatkan apresiasi nilai wanita dalam dunia. Memang terdapat perbezaan pengutamaan dari segi darjah pengalaman psikologi masing-masing. Hasimah Harun lebih banyak menumpukan minat pada peranan kasih sayang dalam dunia kehidupan manusia dengan peranannya yang sihat dalam institusi keluarga, agama, budaya dan masyarakat, selain aspek kemanusiaan yang juga dipertimbangkan dari sumber kasih sayang dan cinta seorang wanita terhadap orang yang paling hampir dengan pengalaman diri, mahupun pengalaman masyarakat. Keadilan yang dituntut oleh Hasima Harun lebih banyak terpusat pada nilai kebenaran dan kejujuran, sebagai asas ketenangan hidup manusia dalam masyarakat setempat dan masyarakat jagatan. Kejernihan ini terbawa dengan halus dalam puisi-puisi ciptaannya. Dahna menumpukan perhatian pada persoalan hidup yang sering tidak diselesaikan oleh manusia. Seperti juga Citranalis, Dahna merungkai keinginan yang tergantung dalam diri dan kehidupannya, sehingga ruang katarsis menjadi sempit, sedangkan pengalaman jiwanya begitu luas ufuk penyelesaiannya. Tapi inilah yang dikatakan puisi, bahawa apa sahaja yang diungkapkan di permukaannya sesungguhnya lebih dalam dan jauh pada aras dalamannya, iaitu pada sudut-sudut kalbu estetiknya. Nur Ain Hanis pula terkadang seperti Hasimah juga, bahawa kecenderungan yang paling dihormati pada penemuan di simpang-simpang kehidupan ialah keperluan wanita yang perlu tebal pada nilai cinta dan kasih sayang, dengan agama menjadi penyalut kepada kehidupan yang murni, atau yang kuat melalui proses penyerahan diri kepada Tuhan yang Maha Esa itu. Masalah kehidupan semacam wujud dalam pengalaman Nur Ain Hanis, iaitu apabila cahaya Ilahi dan keimanan terlepas daripada perhitungan. Konsep kasih sayang dihadiahkan kepada ibunya dan ayahnya melalui puisi, manakala kecintaan terhadap kemanusiaan setempat dan jagat menjadi titian antara kebahagiaan dunia yang perlu seimbang dengan kebahagiaan abadi. Penulis kagum dengan keempat-empat penyair wanita yang mencipta puisi masing-masing dalam antologi Bulan Suram Di Langit Kashmir, iaitu judul yang mengambil iktibar tentang bagaimana kemanusiaan menjadi bengai dan tersungkur di bumi dua alam: alam Islami dan alam Hindu: semacam dua agama tidak pernah tenang di titik yang sama, malahan tidak juga tenang di titik yang berbeza pun. Di sinilah penyair insaf bahawa persamaan dan perbezaan tidak membawa apa-apa makna apabila pengalaman yang berbeza itu tidak menyamakan hasrat, manakala pengalaman yang sama pula terus membezakan pegangan untuk menang. Pemberatan psikologi ini memang sesuai dijadikan judul antologi puisi kerana nilai tragisnya lebih cepat mengundang perhatian dan kesungguhan yang amat bererti dalam arena kehidupan manusia yang berjanji untuk mencintai dan menikmati kemanusiaan tersebut di dunia yang kita diami ini.

 

ARBAK OTHMAN

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s